English Version
Peta Laman Hubungi Kami Halaman Utama


Bekas Makanan yang Selamat

Sebaik pulang dari membeli barangan makanan, kita sudah semestinya perlu menyimpan makanan tersebut ke dalam bekas simpanan makanan. Di pasaran, terdapat pelbagai jenis bekas simpanan makanan sama ada yang diperbuat dari kaca, plastik, logam dan lain-lain lagi. Bekas makanan adalah berfungsi untuk menyimpan makanan daripada diharungi pelbagai jenis serangga seperti lalat dan semut serta untuk melindungi makanan tersebut dari cepat rosak di atas sebab faktor-faktor persekitaran seperti air dan udara.

Selain itu, dengan menggunakan bekas makanan juga dapat mengekalkan rupa dan bentuk makanan. Si kecil pasti tertarik untuk menikmati makanan tersebut. Makanan yang berkeadaan baik sudah pasti mempunyai rasa yang sedap dan dengan ini turut dapat mengekalkan khasiat yang terdapat di dalam makanan tersebut.

Anda perlu bijak dalam memilih bekas makanan agar makanan yang disimpan adalah terlindung dari serangga serta tahan lama. Antara beberapa perkara yang perlu diambil perhatian adalah:

1. Pastikan bekas makanan tidak retak atau sumbing.
2. Ianya diperbuat dari bahan yang selamat dan mudah dicuci.
3. Pastikan bekas makanan sentiasa dalam keadaan bersih.

Sekiranya kita tidak mengambil langkah berjaga-jaga kemungkinan makanan yang kita simpan akan menjadi cepat rosak serta yang paling bahaya adalah ditimpa penyakit. Keracunan makanan boleh menyebabkan seseorang itu mengalamai gejala-gejala seperti muntah-muntah, pening dan sakit perut. Keracunan makanan bukan sahaja menyebabkan seseorang itu merasa tidak selesa malah boleh melemahkan anggota tubuh badan. Hal ini boleh menjadi lebih merbahaya sekiranya di alami oleh golongan warga tua, wanita mengandung atau pun kanak-kanak.

Untuk itu, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian dalam penyimpanan makanan. Antaranya:

1. Makanan kering seperti tepung susu, gula dan beras perlu disimpan di dalam bekas yang tertutup rapat kerana dapat menghalang pencemaran oleh serangga dan tikus.
2. Makanan perlu disimpan di kawasan yang jauh dari dinding dan paip bagi mengelakkan dicemari oleh serangga serta makhluk perosak lain.
3. Kabinet yang digunakan untuk menyimpan makanan perlu berada dalam keadaan bersih, kering dan berangin.
4. Tempat penyimpanan makanan dan tempat penyimpanan bahan pencuci perlulah diletakkan di tempat yang berasingan.

Anda juga boleh menyediakan makanan buat si kecil sebelum dia pergi ke sekolah. Dengan ini, anda lebih yakin bahawa makanan yang si kecil nikmati adalah bersih dan selamat. Makanan yang disimpan di dalam bekas yang comel sudah pasti dapat menarik perhatian si kecil untuk menikmati makanan yang telah disediakan.

Adalah penting untuk menyimpan makanan di dalam bekas makanan yang selamat demi keselamatan anda sekeluarga. Dengan menyimpan makanan dengan betul, anda bukan sahaja dapat meminimakan makanan dari menjadi basi dan rosak malah boleh mengelakkan pembaziran.

Rujukan:
Kementerian Kesihatan Malaysia.
Keracunan Makanan, Noryati Ismail (2000)

 

Kembali 


    Copyright © 2009 Nural. All Rights Reserved | User Agreement | Privacy Notes |
Home Feedback To Us ! Sitemap