English Version
Peta Laman Hubungi Kami Halaman Utama


Pengambilan Kalsium Sejak Dari Kecil

Kalsium adalah sejenis bahan mineral yang sangat penting
buat badan kita. Bahan mineral ini diperlukan dalam membantu
membina tulang dan gigi yang kuat. Anak-anak mendapatkan
bahan mineral ini sejak dari bayi lagi. Antara bahan makanan
yang mengandungi kandungan kalsium yang paling besar
adalah susu dan sumber tenusu.

Bagi kanak-kanak yang berumur 1 hingga 3 tahun, jumlah yang
diperlukan oleh mereka adalah sebanyak 500mg sehari.
Sementara itu, bagi kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun
adalah sebanyak 800mg sehari. Untuk itu amat wajar sekali setiap ibu bapa memastikan anak mereka mengambil hidangan susu yang secukupnya. Selain itu, ibu bapa juga boleh mempelbagaikan hidangan bagi sumber kalsium dengan menyediakan sumber kalsium lain seperti keju dan yogurt di dalam sarapan mereka.

Ibu bapa perlu sedar bahawa disamping pertumbuhan tulang, anak-anak juga mengalami pembentukan tulang yang baru. Proses ini amat penting dalam membentuk struktur badan yang seimbang dan kukuh untuk melindungi badan. Selain membantu pembinaan tulang dan gigi yang kuat, kalsium turut dapat membantu dalam mencegah penyakit osteoporosis pada kemudian hari.

Osteoporosis selalunya dihadapi oleh mereka yang berusia lebih tua. Menerusi penyakit ini, warga tua akan mengalami tulang yang rapuh dan ini menyukarkan bagi mereka untuk menjalankan sesuatu aktiviti. Malahan jika tidak dirawat dengan betul, mereka juga boleh terdedah kepada risiko kematian.

Sungguhpun begitu, pengambilan nutrisi yang lain juga adalah penting. Ibu bapa perlu memastikan agar si kecil mengambil pelbagai jenis komponen makanan yang lain iaitu karbohidrat, protein, lemak, vitamin, mineral, air dan serat.

Kesan makanan lain pada kandungan nutrisi

Terdapat sesetengah makanan yang boleh menyebabkan permasalahan dalam penyerapan kalsium. Contohnya, kafein dan zat besi. Pengambilan kafein mampu mengurangkan penyerapan kalsium di dalam badan manakala pengambilan supplement zat besi perlulah di ambil pada masa yang berbeza dengan pengambilan kalsium. Hal ini kerana, kalsium dapat memperlahankan penyerapan zat besi. Selain itu, pengambilan garam dan protein yang berlebihan juga turut dapat meningkatkan pengeluaran kalsium di dalam urea.
 
Sumber kalsium dari makanan

Selain susu dan yoghurt, sumber makanan yang kaya dengan kalsium adalah seperti tofu dan keju. Malahan terdapat juga sayuran yang kaya dengan kalsium seperti kubis cina, lobak cina dan brokoli.

Hidangan Seimbang

Menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia, Bahagian Kesihatan Awam  turut memberikan sedikit tip di dalam buku mereka ‘Hidangan seimbang untuk anak-anak berusia 1 sehingga 6 tahun’ mengenai pengambilan susu. Hal ini dapat membantu dalam memastikan si kecil mendapat manfaat kalsium yang secukupnya. Antara tipsnya seperti;

  1. Biarkan si kecil memilih sendiri perisa susu yang diinginnya.
  2. Ceritakan kepada si kecil mengenai khasiat susu.
  3. Gunakan kreativiti anda dalam menyediakan susu (tambah buah-buahan berwarna-warni)
  4. Galakkan ahli keluarga anda agar minum susu

Rujukan:

National Academy of Science 1997
Kementerian Kesihatan, Malaysia



                                          Kembali


    Copyright © 2009 Nural. All Rights Reserved | User Agreement | Privacy Notes |
Home Feedback To Us ! Sitemap