English Version
Peta Laman Hubungi Kami Halaman Utama Home Feedback To Us ! Sitemap



H1N1 Kembali Lagi

Sedarkah anda bahawa wabak H1N1 telah kembali lagi. Difahamkan
bahawa wabak penyakit ini adalah lebih merbahaya berbanding yang
sebelum ini. Untuk itu, ibu bapa perlulah lebih berwaspada dalam
melindungi anak-anak kecil. Hal ini kerana, mereka lebih terdedah
kepada wabak penyakit berbahaya ini.

Wabak Pandemik

Pandemik adalah apabila sejenis wabak penyakit yang telah merebak
ke serata dunia. Influenza pandemik berlaku apabila virus baru
tersebut merebak ke merata tempat di dunia dan tidak ada individu yang mempunyai imuniti bagi melawan penyakit tersebut.

Langkah pencegahan:

Seperti yang telah dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, terdapat pelbagai langkah pencegahan yang dapat di jalankan dalam menghadapi gejala H1N1 ini. Antaranya ialah:

a. Membasuh tangan
b. Menggunakan penutup mulut dan hidung
c. Menggunakan tisu ketika bersin
d. Mengelakkan dari tempat yang sesak (ramai orang awam)

Penutup mulut dan hidung

Di dalam buku “Beat the Flu: Protect yourself and your family from Swine Flu, Bird Flu, Pandemic Flu, and Seasonal Flu” turut menyatakan bahawa pemakaian penutup mulut dan hidung adalah penting bukan sahaja ketika melakukan aktiviti di luar rumah (seperti bekerja, bersiar-siar dan ke kedai)malahan sekiranya anda sedang menjaga ahli keluarga yang dijangkiti selsema maka anda harus juga memakai penutup mulut dan hidung.

Di dalam buku tersebut turut menambah bahawa, amat penting sekali bagi mereka yang mengalami selsema untuk memakai penutup ini demi melindungi orang ramai di sekeliling mereka. Hal ini kerana dengan pemakaian penutup mulut dan hidung akan dapat mengelakkan penyebaran titisan selsema dari terkena individu lain.

Faktor risiko jangkitan H1N1

Antara faktor risiko yang mudah menerima jangkitan H1N1 ialah:

a. Bayi dan kanak-kanak yang berusia di bawah 5 tahun
b. Obesiti
c. Penyakit kronik
d. Penyakit respiratori kronik

Menerusi kenyataan dari Kementerian Kesihatan Malaysia bahawa adalah disarankan agar ibu bapa yang mempunyai anak dengan gejala seperti berikut perlulah segera berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan selanjutnya. Antaranya adalah seperti:

a. Masalah pernafasan, batuk berdarah atau kahak berdarah.
b. Sakit dada berterusan.
c. Cirit-birit atau muntah yang kerap.
d. Demam berterusan melebihi tiga hari atau demam berulang selepas tiga hari pulih.
e. Berkelakuan tidak normal.
f. Pening apabila berdiri dan kurang kencing.

Pengambilan vaksin H1N1

Pengambilan vaksin H1N1 adalah di utamakan kepada mereka yang terdiri dari golongan yang berisiko tinggi. Antaranya seperti:

a. Mereka yang mempunyai masalah obesiti atau menghadapi masalah kronik (diabetes, dan kardiovaskular)
b. Wanita hamil (terutama mereka yang mempunyai kandungan berusia 18 bulan ke atas)
c. Indidvidu yang mengalami masalah buah pinggang dan sedang menjalani rawatan dialisis.
d. Individu yang mengembara.

Menurut D. Ricks dan M. Siegel di dalam buku mereka yang bertajuk “100 Questions and Answers about Influenza” turut menyatakan bahawa kanak-kanak adalah lebih terdedah kepada flu terutama mereka yang tinggal bersama adik-beradik (dalam linkungan umur yang sebaya) mahupun bersama datuk dan nenek. Terdapat statistik yang menunjukkan kanak-kanak berusia 6 bulan hingga 5 tahun adalah yang paling tinggi dalam menerima rawatan di hospital berkenaan wabak selsema ini.

Selain itu, kanak-kanak yang berisiko tinggi (mengalami komplikasi pernafasan dan sistem imun lemah) mempunyai kadar 5 kali tinggi untuk menerima rawatan di hospital berkenaan simptom selsema berbanding kanak-kanak normal dan sihat (pada usia yang sama).

Menerusi buku tersebut, D. Ricks dan M. Siegel turut menyarankan agar kanak-kanak kecil perlu segera mendapatkan rawatan dan vaksin dengan kadar segera. Ini kerana, mereka lebih cepat mendapat simptom seperti cirit birit dan sakit perut berbanding orang dewasa.

Kesimpulannya, sekiranya terdapat gejala-gejala yang dinyatakan di atas maka anda perlulah mendapatkan rawatan selanjutnya dengan kadar segara.

Rujukan:

1. Kementerian Kesihatan Malaysia.
2. World Health Organization.
3. “Beat the Flu: Protect Yourself and Your Family from Swine Flu, Bird Flu, Pandemic Flu, and Seasonal Flu” (2009), oleh Richard Stooker
4. “100 Questions and Answers about Influenza (2008), oleh Delthia Ricks dan Magic Siegel:

 

                                   Kembali

 

 
   Copyright © 2009 Nural. All Rights Reserved | User Agreement | Privacy Notes |
Home Feedback To Us ! Sitemap